SISTEM PENTADBIRAN
NEGARA MALAYSIA
Oleh:
JOHARI TAHIR
Institut
Latihan Sektor Awam Negeri (INSAN)
SKOP CERAMAH
1.1.
Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan
Konsep
Pengasingan Kuasa (Doctrine of Power)
·
Badan
Perundangan
·
Badan
Eksekutif
·
Badan Kehakiman
1.2.
Pengenalan dan Perbandingan Struktur Organisasi Kerajaan Pusat Dan
Kerajaan Negeri
OBJEKTIF CERAMAH
Selepas mengikuti ceramah ini, peserta harus dapat:
2.1. Mentakrif Sistem Demokrasi
Berparlimen dan Raja Berperlembagaan;
2.2. Mengenalpasti tiga komponen
Kerajaan dan fungsi-fungsi umum
tiap-tiap komponen berkenaan.
2.3. Mengenalpasti perbandingan struktur
organisasi jentera Kerajaan
Pusat dan dan Kerajaan Negeri
MALAYSIA SEPINTAS
LALU
•
Malaysia ditubuhkan
pada 16 September 1963 hasil gabungan empat buah wilayah, iaitu Malaya,
Singapura, Sabah dan Sarawak.
•
Singapura berpisah pada
tahun 1965.
•
Kini Malaysia terdiri daripada 13 buah negeri, Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur, WP Putrajaya dan WP Labuan.
SISTEM PENTADBIRAN MALAYSIA
MALAYSIA merupakan sebuah
negara yang mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja
Berperlembagaan yang mana Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong berperanan
sebagai Ketua Negara. Sebagai pelengkap kepada pembentukan negara, Perlembagaan
Persekutuan telah digubal dan menjadi punca kuasa serta sumber
perundangan utama negara.
PERLEMBAGAAN Persekutuan menjelaskan struktur
pembahagian kuasa dalam sistem pentadbiran negara yang meliputi Badan
Perundangan (Legislative), Badan Eksekutif (Executive) dan
Badan Kehakiman (Judicial) serta peranan Negeri serta perhubungan
antara kedua-duanya.
TAKRIFAN
SISTEM
Sistem ialah satu set
komponen-komponen yang saling berkait dan berfungsi bersama-sama untuk mencapai
matlamat-matlamat tertentu (Kenegaraan Malaysia, 1988).
PENTADBIRAN
Suatu proses
pelaksanaan dasar-dasar yang telah dimaktubkan untuk tujuan mencapai objektif
organisasi (Kerajaan).
NEGARA
Sesuatu masyarakat
politik yang mempunyai sempadan yang tertentu, mempunyai penduduk, mempunyai
Kerajaan yang teratur, dan mempunyai kedaulatan keupayaan untuk mengawal hal
ehwal dalam negeri serta kebebasan mengadakan hubungan dengan negara-negara
lain.
DEMOKRASI
Sistem pemerintahan/politik
dimana rakyat mempunyai suara mutlak dalam menentukan Kerajaan melalui
pilihanraya.
PERLEMBAGAAN
Sebuah dokumen atau
dokumen-dokumen yang mengandungi undang-undang tertinggi bagi mewujudkan satu
sistem Kerajaan yang teratur.
PARLIMEN
Badan Perundangan
Persekutuan yang terdiri daripada Seri
Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Dewan Negara
dan Dewan Rakyat.
SISTEM DEMOKRASI
BERPARLIMEN?
Istilah demokrasi
berasal daripada Bahasa Yunani, iaitu DEMOKRATIKA – Demos
bermaksud Rakyat dan Kratia adalah Pemerintah. “The government of the
people, by the people and for the people” – “Kerajaan yang dipilih oleh
rakyat dan untuk rakyat”.
• Sistem Demokrasi
Berparlimen bermaksud rakyat dapat melibatkan diri dalam sistem pentadbiran negara.
• Rakyat berpeluang
membentuk Kerajaan melalui pilihanraya dan bebas memilih
perwakilan bagi mengurus negara.
• Pengamalan Sistem
Demokrasi Berparlimen bertujuan untuk memperlihatkan landasan pemerintahan bagi
sesebuah negara adalah berteraskan kepada kebebasan/demokrasi.
• Parlimen ialah
institusi terunggul dalam sesebuah negara yang mengamalkan prinsip-prinsip
demokrasi.
• Salah satu syarat
dalam Sistem Demokrasi Berparlimen adalah pembahagian kuasa kepada tiga badan
di dalam sistem pemerintahan, iaitu Perundangan, Eksekutif dan Kehakiman.
• Malaysia mengamalkan
sistem demokrasi berparlimen.
RAJA BERPERLEMBAGAAN?
Raja Berperlembagaan bermaksud Raja yang
memerintah mengikut kuasa yang diberikan kepada baginda (SPB Yang Di-Pertuan Agong)
oleh Perlembagaan. Baginda harus bertindak atas nasihat Kabinet atau nasihat
seorang Menteri yang bertindak dibawah kuasa am Kabinet (biasanya
Perdana Menteri).
Sebagai Ketua Negara
Malaysia, Yang DiPertuan Agong berada di kemuncak ketiga-tiga bidang kuasa
eksekutif, perundangan dan kehakiman.
Yang DiPertuan Agong
mempunyai keutamaan yang melebihi semua orang di Malaysia dan tidak boleh
didakwa dalam perbicaraan mana-mana Mahkamah. Baginda merupakan lambang
kedaulatan dan perpaduan negara.
Pemilihan
Yang DiPertuan Agong
dipilih dari kalangan sembilan orang Raja Melayu oleh Majlis Raja-Raja mengikut
aturan yang terkandung dalam jadual ketiga, Perlembagaan Malaysia.
Setiap Raja boleh
dipilih menjadi Yang Di-Pertuan Agong, kecuali baginda belum cukup umur, atau
sengaja tidak mahu dipilih, atau difikirkan tidak layak oleh Majlis Raja-Raja
dengan undi sulit atas sebab lain.
Raja yang pertama
dalam senarai pemilihan dan mendapat sokongan daripada sekurang-kurangnya empat
orang Raja akan ditawarkan jawatan ini selama lima tahun melainkan
baginda meletakkan jawatan sebelum tempoh berkenaan atau dilucutkan jawatan
oleh Majlis Raja-Raja.
Isteri Yang Di-Pertuan
Agong digelar Raja Permaisuri Agong dan mempunyai keutamaan selepas Yang
Di-Pertuan Agong.
Kuasa Eksekutif
Kuasa eksekutif adalah
terletak pada Yang Di-Pertuan Agong. Walau bagaimanapun, baginda harus
bertindak atas nasihat Kabinet atau Perdana Menteri.
Yang Di-Pertuan Agong
berhak mendapat apa-apa maklumat mengenai Kerajaan Persekutuan yang boleh
diperolehi oleh Kabinet.
Semasa Majlis
Raja-Raja membincangkan perkara-perkara mengenai dasar negara, baginda diiringi
oleh Perdana Menteri.
Hubungan Dengan
Parlimen
Yang Di-Pertuan Agong
merupakan satu daripada tiga komponen Parlimen ( disamping Dewan Rakyat dan
Dewan Negara).
Baginda boleh memanggil,
menangguh dan membubarkan Parlimen.
Yang Di-Pertuan Agong
boleh juga memberi ucapan dalam mana-mana Majlis Parlimen.
Rang undang-undang
yang diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara perlu mendapat persetujuan
(kecuali sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 66) Yang Di-Pertuan Agong
sebelum dijadikan undang-undang.
Hubungan Dengan
Kehakiman
Ketua Hakim Negara
Mahkamah Agung, Hakim-hakim Besar Mahkamah Tinggi dan Hakim-hakim lain Mahkamah
Persekutuan dan Mahkamah Tinggi dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong, yang
bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan
Majlis Raja-Raja.
Yang Di-Pertuan Agong
mempunyai kuasa mengampun segala kesalahan yang dibicarakan dalam Mahkamah
Tentera, segala kesalahan yang dilakukan dalam Wilayah Persekutuan (Kuala
Lumpur dan Labuan) dan segala hukuman yang dijatuhkan dalam Mahkamah Syariah di
Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan.
Tugas-tugas Lain
Yang Di-Pertuan Agong
merupakan Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata dan Ketua Agama Islam bagi
negeri-negeri Melaka, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Sabah, Sarawak dan
negeri baginda sendiri.
Yang Di-Pertuan Agong
bertanggungjawab memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan kaum bumiputera
Sabah dan Sarawak.
Kuasa Budi Bicara
Mengikut Perlembagaan
Persekutuan, Yang Di-Pertuan Agong boleh bertindak mengikut budi bicaranya sendiri
dalam tiga perkara, iaitu:
Pelantikan Perdana
Menteri;
Memperkenan atau
menolak permintaan pembubaran Parlimen;
Meminta supaya
diadakan suatu mesyuarat Majlis Raja-Raja mengenai keistimewaan, kedudukan,
kemuliaan dan kebesaran Raja-raja.
Larangan
Terdapat beberapa
perkara yang tidak boleh dibuat oleh Yang Di-Pertuan Agong. Di antara
perkara-perkara tersebut ialah:
(i) Tidak
boleh dengan giatnya melibatkan
diri dalam perniagaan;
(ii) Tidak
boleh memegang jawatan bergaji;
(iii) Tidak boleh meninggalkan Malaysia selama
tempoh yang melebihi
lima belas hari
kecuali dengan
persetujuan Majlis Raja-
Raja atau kerana membuat
lawatan rasmi
ke sebuah negara lain;
iv) Tidak boleh menerima apa-apa jua jenis
emolumen dari negeri
yang baginda
menjadi Raja; dan
(v) Tidak
boleh menjalankan tugas-tugas
sebagai Raja negerinya
kecuali tugas-tugas
sebagai Ketua Agama
Islam, pindaan per-
lembagaan dan pelantikan
Pemangku Raja
atau ahli Jemaah
Pemangku Raja.
KONSEP PENGASINGAN
KUASA ( DOCTRINE OF POWER)
Pengasingan Kuasa
(Doctrine of Power) merupakan konsep asas dalam Kerajaan-kerajaan moden
terutama bagi negara-negara demokratik.
Doktrin Pengasingan
kuasa dimajukan oleh Montesquieu, seorang ahli falsafah terkemuka
Perancis.
Idea terpenting
mengenai pengasingan kuasa ialah orang atau badan yang sama tidak harus
bertanggungjawab bagi membuat undang-undang, menguatkuasakannya dan menghukum
orang-orang yang melanggarnya. Dalam erti kata yang ekstrim, doktrin tersebut
melibatkan pembahagian kuasa pemerintahan yang jelas antara badan-badan perundangan,
eksekutif dan kehakiman tanpa sebarang pertindihan. Sebagai contoh,
pihak eksekutif tidak harus mempunyai kuasa dalam hal-hal perundangan atau
kehakiman.
Matlamat doktrin
pengasingan kuasa ialah untuk mengelakkan pemusatan kuasa di dalam
tangan mana-mana pihak. Dari segi amalan, tidak ada negara yang mematuhi
doktrin tersebut dengan sepenuhnya, walaupun Amerika Syarikat
hampir-hampir berbuat demikian. Di Malaysia, doktrin pengasingan kuasa telah
diubahsuai mengikut keperluan kita.
BADAN PERUNDANGAN
(LEGISLATIVE)
PARLIMEN
Parlimen Malaysia
adalah badan perundangan dalam sistem Kerajaan Malaysia. Dari segi struktur
pentadbirannya, Parlimen Malaysia mengandungi tiga institusi utama, iaitu Seri
Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Dewan Negara dan Dewan Rakyat.
Parlimen Malaysia
berfungsi sebagai platform bagi Kerajaan Persekutuan menggubal undang-undang.
Dari segi prosedur,
undang-undang yang dibentang dan diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara
akan diangkat untuk mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan
Agong, sebelum diwartakan dan dikuatkuasakan di seluruh negara.
Selain penggubalan
undang-undang, Parlimen Malaysia berfungsi meluluskan pindaan kepada
undang-undang persekutuan,
memeriksa dasar-dasar serta meluluskan perbelanjaan Kerajaan Persekutuan
dan hasil-hasil cukai yang baru.
Parlimen Malaysia juga
menjadi forum untuk ahli parlimen membahaskan isu-isu berkepentingan nasional
serta menyampaikan pandangan dan kritikan berhubung perkara-perkara yang
berlaku dalam dan luar negara.
DEWAN NEGARA
Dewan Negara mempunyai
70 orang ahli, iaitu 26 ahli yang dipilih oleh Dewan Undang Negeri sebagai
mewakili 13 Negeri ( setiap negeri diwakili oleh 2 orang ahli). 44 ahli yang
dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana
Menteri termasuk 2 ahli dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 1 dari WP Labuan
dan 1 dari WP Putrajaya.
Ahli-ahli Dewan Negara
dilantik atau dipilih dari kalangan mereka yang menyumbang khidmat yang
cemerlang atau telah mencapai kecemerlangan dalam profesion masing-masing,
dalam perdagangan, industri, pertanian, aktiviti kebudayaan atau perkhidmatan
sosial atau merupakan wakil kumpulan kaum minoriti ataupun kebolehan menjaga
kepentingan orang-orang Asli.
Untuk layak menjadi
ahli Dewan Negara, seseorang calon hendaklah:
* warga
negara Malaysia;
* umur
tidak kurang dari 30 tahun;
* waras
fikiran;
* bukan
seorang muflis; dan
* tidak
mempunyai rekod jenayah
Peranan utama Dewan
Negara ialah untuk membahaskan sesuatu Rang Undang-Undang yang
diluluskan oleh Dewan Rakyat dengan lebih mendalam dan teliti.
Ini bererti Dewan
Negara dapat memperbaiki Rang Undang-Undang yang telah diluluskan oleh Dewan
Rakyat.
Dewan Negara
juga merupakan forum bagi pegawai-pegawai awam dan ahli politik yang berpengalaman
(senator-senator) untuk membincangkan perkara-perkara yang menjadi kepentingan
umum.
DEWAN RAKYAT
Dewan Rakyat mempunyai
222 ahli, iaitu 165 di Semenanjung, 31 di Sarawak dan 26 di Sabah termasuk Labuan.
Setiap ahli mewakili
satu kawasan pilihanraya (parlimen) yang dipilih oleh rakyat melalui
pilihanraya.
Mereka memegang
jawatan selama lima (5) tahun sekiranya parlimen tidak dibubarkan sebelum tamat
tempohnya. Tugas utama Dewan Rakyat ialah untuk membuat undang-undang
dengan cara membincang dan meluluskan Rang Undang-Undang. Rang
Undang-Undang yang diluluskan kemudian dikemukakan bagi kelulusan Dewan Negara
dan seterusnya untuk diperkenan oleh Yang Di-Pertuan Agong.
Dewan Rakyat juga
menyediakan suatu forum dimana dasar-dasar Kerajaan boleh dipersoalkan
dan diperdebatkan oleh ahli-ahli.
BADAN
EKSEKUTIF
( EXECUTIVE)
Badan Eksekutif
merupakan badan pemerintah bagi Kerajaan Malaysia. Ia juga dikenali sebagai
Kabinet atau Jemaah Menteri.
Badan ini dibantu oleh
jentera Pentadbiran Awam (Perkhidmatan Awam) yang bertanggungjawab melaksana
dan menguatkuasakan undang-undang, dasar-dasar awam dan mentadbir negara.
Kuasa Jemaah Menteri
dijelaskan dibawah Perkara 39, Perlembagaan Persekutuan. Berdasarkan peruntukan
tersebut, kuasa memerintah (eksekutif) bagi Persekutuan terletak pada Seri
Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan kuasa tersebut boleh dijalankan oleh
Jemaah Menteri atau Menteri-menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Kabinet.
BADAN
KEHAKIMAN
( JUDICIARY)
Badan Kehakiman atau
Judiciary berperanan menyelesaikan sesuatu bentuk perselisihan atau pertikaian
di kalangan rakyat dan di antara rakyat dengan pihak berkuasa.
Perkara 121,
Perlembagaan Persekutuan menjelaskan bahawa kuasa kehakiman bagi Persekutuan
terbahagi kepada dua (2) Mahkamah Tinggi, yang mana pewujudan Mahkamah ini
adalah bersesuaian dengan bidang kuasa dan tarafnya.
Mahkamah Tinggi Bagi
Semenanjung
Kuasa kehakiman bagi
negeri-negeri di Semenanjung terletak dibawah bidang kuasa Mahkamah
Tinggi Malaya.
Mahkamah Tinggi Bagi
Sabah dan Sarawak
Kuasa kehakiman bagi
negeri-negeri di Sabah dan Sarawak pula adalah terletak dibawah bidang kuasa Mahkamah
Tinggi Borneo.
Sebagaimana yang
ditetapkan oleh Undang-undang Persekutuan, Mahkamah Tinggi yang berkaitan dan
mana-mana Mahkamah yang lebih rendah mempunyai bidang kuasa tertentu
sebagaimana yang diperuntukkan dibawah undang-undang Persekutuan.
Selain Mahkamah
Tinggi, terdapat juga Mahkamah Rayuan yang berperanan memutuskan rayuan
terhadap keputusan-keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi atau seseorang
hakimnya.
Manakala, Mahkamah
Persekutuan pula mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan rayuan terhadap
keputusan-keputusan yang dibuat di peringkat Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi
atau seseorang hakim Mahkamah tersebut.
PENGENALAN DAN
PERBANDINGAN STRUKTUR ORGANISASI KERAJAAN PUSAT DAN KERAJAAN NEGERI
KABINET – Organisasi
Eksekutif Tertinggi
Kabinet atau Jemaah
Menteri merupakan organisasi tertinggi yang menjalankan kuasa eksekutif Kerajaan
Pusat (Persekutuan) atas nama Yang Di-Petuan Agong.
Di Semenanjung
Malaysia, Majlis Mesyuarat kerajaan(MMK) merupakan organisasi tertinggi
yang menjalankan kuasa eksekutif Kerajaan Negeri atas nama Raja atau Yang
Di-Pertua Negeri.
Di Negeri Sabah, ia
digelar Kabinet dan di Sarawak pula dipanggil Majlis
Tertinggi(MT) yang menjalankan kuasa eksekutif Kerajaan Negeri
masing-masing atas nama Yang Di-Pertua Negeri. Kabinet/Majlis
Mesyuarat Kerajaan/Majlis Tertinggi
merupakan organisasi pembentukan dasar negara yang tertinggi. Ia
bertanggungjawab secara kolektif kepada Parlimen/Dewan Undangan
Negeri.
Setiausaha Kabinet ialah Ketua Setiausaha Negara di peringkat
Persekutuan dan Setiausaha Kerajaan Negeri di peringkat Negeri. Kementerian yang
diketuai oleh Menteri merupakan agensi tertinggi Kerajaan. Ia melaksanakan
portfolio yang menjadi tanggungjawab seseorang Menteri.Pegawai Pentadbir
utama di sesebuah Kementerian peringkat
Persekutuan ialah Ketua Setiausaha dan di peringkat Negeri ialah Setiausaha
Tetap (Sabah dan Sarawak).
KEMENTERIAN
Jabatan Perdana
Menteri (JPM) merupakan Kementerian utama di peringkat Persekutuan dan Jabatan
Ketua Menteri (JKM) di peringkat Negeri. Ia bertanggungjawab untuk
merancang, merumus dan menyelaras segala dasar negara.
Pegawai Pentadbir
Utama di Jabatan Perdana Menteri ialah Ketua Setiausaha Negara, manakala
di Jabatan Ketua Menteri atau Pejabat Menteri Besar ialah Setiausaha
Kerajaan Negeri.
JABATAN
Jabatan merupakan
agensi Kerajaan yang terletak dibawah sesebuah Kementerian. Secara amnya,
jabatan-jabatan mempunyai cawangan-cawangan di peringkat negeri dan daerah.
Peranan Jabatan ialah
untuk melaksanakan kebanyakan daripada perkara yang terletak dibawah sesebuah
Kementerian. Pegawai Pentadbir utama bagi kebanyakan Jabatan ialah Ketua
Pengarah (Persekutuan) atau Pengarah (Negeri).
SURUHANJAYA
Suruhanjaya merupakan
organisasi yang dapat bergerak dengan bebas dalam menjalankan tugas-tugas
tertentu secara objektif, adil dan saksama.
Terdapat dua jenis
Suruhanjaya yang tetap dalam Kerajaan Persekutuan, iaitu Suruhanjaya
Pilihanraya dan Suruhanjaya-suruhanjaya Perkhidmatan
Seperti Kerajaan
Persekutuan, Kerajaan Negeri juga mempunyai Suruhanjaya-suruhanjaya berbentuk
tetap atau sementara.
Pegawai Pentadbir
utama sesebuah Suruhanjaya ialah
Setiausaha.
PERBADANAN AWAM
Terdapat dua jenis
Perbadanan Awam di Malaysia, iaitu Badan-badan Berkanun dan Badan-badan
Tidak Berkanun (Syarikat Kepunyaan kerajaan).
Badan-badan Berkanun merupakan organisasi
yang ditubuhkan di bawah Akta Parlimen atau Enakmen Negeri. Contoh-contoh Badan
Berkanun persekutuan ialah FELDA, MARA, BANK NEGARA dan sebagainya. Contoh-contoh badan Berkanun di peringkat Negeri
seperti Sabah ialah Yayasan Sabah, SLDB, PPS, Majlis Daerah dan sebagainya.
Badan-badan Tidak
Berkanun pula merupakan organisasi-organisasi yang ditubuhkan dibawah Akta
Syarikat dimana Kerajaan mempunyai kepentingan ekuiti. Contoh-contoh Badan
Tidak Berkanun ialah MAS, PETRONAS, SFI, Labuan Wood Products, dan sebagainya.
Tujuan penubuhan
Perbadanan Awam ialah untuk membolehkan penglibatan Kerajaan secara
terus dan lebih berkesan dalam bidang pembangunan sosio-ekonomi negara serta
kegiatan-kegiatan yang tidak diceburi oleh sektor swasta.
Perbadanan Awam ini lebih
bebas dan tidak terikat kepada peraturan-peraturan Pentadbiran
Awam/Kerajaan yang biasa.
Perbadanan Awam juga
mempunyai autonomi yang lebih dalam hal-hal pengurusan dan
kewangan.
PERINGKAT PENTADBIRAN
NEGERI
Di Semenanjung
terdapat tiga (3) peringkat Pentadbiran Negeri, iaitu Daerah, Mukim dan
Kampung.
Di Sabah terdapat
empat (4) peringkat Pentadbiran Negeri, iaitu Daerah, Daerah Kecil, Mukim dan
Kampung.
Di Sarawak juga
terdapat empat(4) peringkat Pentadbiran Negeri, iaitu Bahagian, Daerah, Daerah
Kecil dan Kampung. Bahagian diketuai oleh Residen.
Pentadbiran Daerah
diketuai oleh Pegawai Daerah, pentadbiran Mukim diketuai oleh Penghulu
di Semenanjung, Penghulu atau Pemanca di Sarawak dan Ketua
Anak Negeri di Sabah. Pentadbiran peringkat Kampung diketuai oleh Ketua
Kampung dan dibantu oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
KERAJAAN
TEMPATAN
(Peringkat Kerajaan Yang Berasingan)
(Peringkat Kerajaan Yang Berasingan)
Kerajaan Tempatan
(Pihak Berkuasa Tempatan) merupakan suatu peringkat Kerajaan yang berasingan.
Tujuan utama penubuhannya ialah untuk memberi peluang kepada penduduk tempatan mengambil
bahagian dalam pengurusan kawasan-kawasan yang diduduki oleh mereka.
Pada masa ini,
terdapat dua (2) jenis Kerajaan Tempatan, iaitu : (a) Majlis Perbandaran, dan
(b) Majlis Daerah.
Majlis Perbandaran
terdapat di kawasan Bandar manakala Majlis Daerah di kawasan Luar Bandar.
Pegawai Pentadbir
utama sesuatu Pihak Berkuasa Tempatan ialah Setiausaha atau Pegawai Eksekutif.
KESIMPULAN
Malaysia adalah sebuah
negara yang mengamalkan sistem pentadbiran Demokrasi Berparlimen dan Raja
Berperlembagaan.
Pembahagian kuasa
pemerintahan di antara Badan Perundangan, Badan Eksekutif dan Badan Kehakiman.
Tiga peringkat
pentadbiran, iaitu Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan.
asslam..saya nk tnye beberapa soalan;
ReplyDeletea.apakah kepentingan sistem beraja di malaysia
b.apakah cara memperkukuh kedaulatan raja
c.apakah cabaran untk mengekalkan institusi raja
d.langkah untk mengekalkan institusi raja
jasa baik anda amat diperlukan..tlg emelkan jawapan di nuralisa282001@gmail.com