KEADILAN melihat perkembangan politik Negeri Sabah sebagai
kejayaan agenda reformasi yang disemai lebih 10 tahun yang lalu dan kini
menyaksikan hasilnya dengan kebangkitan rakyat Sabah yang berani meruntuhkan
tembok ketakutan dan kezaliman; lalu menuntut reformasi yang tulen.
Dua pengumuman penting di Tuaran dan di Beaufort pastinya mengubah
landskap politik Sabah dan menzahirkan iltizam politik rakyat Sabah untuk
mencetus serta melaksanakan agenda perubahan.
KEADILAN mengalu – alukan pengumuman Datuk Seri Panglima Haji
Lajim Haji Ukin dan Datuk Seri Panglima Wilfred Mojilip Bumburing yang
meletakkan semua jawatan dari parti masing-masing; UMNO dan UPKO serta
kesediaan mereka untuk bersama Pakatan Rakyat dalam usaha melakukan perubahan
dalam sistem kenegaraan.
Kita juga menyambut baik iltizam mereka untuk menjana kekuatan
rakyat bagi melakukan perubahan di Negeri Sabah. Makanya kerana komitmen yang
jelas di kalangan pimpinan Negeri Sabah yang berani mengambil risiko; KEADILAN
tidak teragak-agak untuk bersama-sama mereka demi rakyat Sabah.
Kerjasama yang disepakati bersama Pakatan Rakyat merupakan titik
permulaan kepada perubahan politik Malaysia dalam Pilihan Raya Umum ke 13.
Slogan ‘Ini kali-lah’ menandakan angin perubahan telah sampai ke bumi Sabah.
Sudah tiba masanya untuk rakyat Sabah sendiri menentukan masa depan Negeri
Sabah serta menikmati hasil kekayaan Negeri yang selama ini diagihkan secara
tidak adil oleh pentadbiran UMNO – Barisan Nasional (BN). Rakyat Sabah juga
perlu menolak UMNO – BN yang mengkhianati semangat pembentukan Malaysia.
Dua pengumuman penting yang bersejarah itu menjadi bukti betapa
rakyat Sabah sudah hilang keyakinan kepada kepimpinan Dato’ Seri Najib Tun
Razak dan BN. Tambah pula, pentadbiran Dato’ Seri Najib hanya sekadar menabur
janji dan sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri, ianya ditandai kegagalan
untuk menepati janji.
Tekad rakyat Sabah untuk bersama Pakatan Rakyat pada hari ini
adalah berpaksikan kepada keyakinan mereka terhadap agenda Pakatan Rakyat untuk
melaksanakan perubahan. Mereka yakin dengan dasar – dasar Pakatan Rakyat yang
terkandung dalam Buku Jingga dan perlaksanaannya akan menepati dan memenuhi
hasrat dan cita – cita murni rakyat Malaysia yang mahukan urus tadbir yang baik
serta pengagihan ekonomi yang adil kepada semua rakyat.
KEADILAN turut mengalu – alukan penubuhan Pakatan Perubahan Sabah
(PPS) dan Angkatan Perubahan Sabah (APS) serta kesediaannya bersatu di bawah
payung Pakatan Rakyat untuk menjana arus perubahan dalam Pilihan Raya Umum ke
13.
Ini menandakan keyakinan rakyat Sabah kepada Dato’ Seri Anwar
Ibrahim sebagai peneraju utama dalam Pakatan Rakyat yang insha Allah akan
dinobatkan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke 7. Semoga kebangkitan
rakyat Sabah pada hari ini akan menghasilkan kejayaan dengan tertubuhnya
Kerajaan Rakyat Negeri Sabah dalam Pilihan Raya Umum ke 13.
No comments:
Post a Comment