PEMBENTANGAN Belanjawan adalah merupakan salah satu sesi Parlimen yang
mendapat liputan meluas dan perhatian yang lebih dari biasa; baik dari ahli
politik, penganalisa politik, ahli ekonomi, ahli akademik, ahli perniagaan,
pengamal media, kakitangan kerajaan, mahasiswa, pengusaha kecil, warga swasta,
suri rumah bahkan seluruh rakyat yang peka akan situasi di sekelilingnya.
Maka, lumrahnya sesi perbahasan Parlimen untuk satu–satu
Belanjawan yang dibentangkan–sama peri pentingnya. Perbahasan Belanjawan 2013,
menjadi sesi Parlimen terpenting menjelang Pilihan Raya Umum ke 13. Lebih
penting kerana PilihanRaya ini menjadi penentu hala tuju masa depan negara ini;
mengekalkan regim lama Barisan Nasional atau menabalkan kerajaan baru di
Putrajaya yang dipimpin Pakatan Rakyat.
Bermula dengan pembentangan Belanjawan pada Jumaat lepas oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak, yang juga Perdana Menteri Malaysia, sesi perbahasan menyusul dengan dimulakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Mungkin Setiausaha Politik Menteri Kewangan dan kebanyakan menteri kabinet lupa untuk mengingatkan majikan mereka bahawa tanggungjawab mereka tidak terhenti hanya pada membentangkan belanjawan.
Sebagai Perdana Menteri yang tanpa segan berdegar–degar menggelarkan Malaysia sebagai “world’s best democracy” – harus malu apabila mengambil sikap membentangkan belanjawan, memilih untuk tidak hadir sesi perbahasan, sebaliknya hanya menyokong untuk diluluskan sahaja.
Kerajaan autokratik
Ini bukanlah tradisi demokrasi, tetapi amalan sebuah
kerajaan yang autokratik. Malang buat Malaysia memiliki Perdana Menteri yang
langsung tidak mahu berdepan dengan perbahasan bukan hanya dari ahli Parlimen
Pakatan Rakyat, bahkan dari ahli Parlimen Barisan Nasional sendiri. Sebaliknya
mewakilkan ahli yang bukan dari barisan kabinet pun untuk menjawab bagi pihak
kerajaan. Memalukan. Perdana Menteri pada sesi pembentangan Belanjawan, di
hadapan jutaan rakyat Malaysia telah memilih untuk menyerang Pakatan Rakyat
tanpa sebarang ruang untuk mencelah (kerana peraturan mesyuarat Dewan Rakyat).
Beliau kelihatan puas dan bangga dapat berbuat begitu. Namun, ketidakhadiran beliau pada sesi perbahasan, membuktikan betapa Perdana Menteri lebih mementingkan ego politik beliau daripada kepentingan rakyat terbanyak. Perdana Menteri secara tidak langsung menunjukkan beliau tidak mahu mendengar cadangan atau kritikan pembangkang yang dipilih rakyat secara demokratik, sebaliknya memilih untuk mentadbir negara secara autokratik. Sekali lagi Datuk Seri Najib Razak menunjukkan sikap pemerintahan kuku besi yang mirip ala pemerintahan seorang diktator.
Amalan Westminster
Sistem demokrasi negara ini – demokrasi berparlimen – yang
diwarisi dari British ini merupakan warisan sistem Westminster. Kita punya dua
dewan yang mulia – Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Yang Di Pertuan Agong pula
adalah elemen ketiga dalam sistem Parlimen negara. Namun ada perbezaan besar
yang sangat menarik dapat kita lihat daripada apa yang terjadi dalam Dewan
Rakyat hari ini.
Di House of Common di London, Perdana Menteri, bertanggungjawab untuk hadir ke satu sesi yang dinamakan Questions to the Prime Minister (lebih dikenali sebagai Prime Minister’s Questions atau PMQs). Sesi PMQs secara tradisinya sejak 1997 (amalan ini diwarisi dan berubah mengikut peredaran zaman sejak kurun ke 17), dijalankan pada setiap Rabu ketika Parlimen bersidang.
Sesi ini membolehkan mana – mana ahli Parlimen, tanpa perlu mengikut aturan mesyuarat, untuk menanyakan soalan terus kepada Perdana Menteri dan beliau (baca : Perdana Menteri) akan menjawabnya terus di dalam sesi khas ini. Perdana Menteri bukan sahaja berdepan dengan soalan dari ahli parlimen kerajaan, tetapi lebih penting berdepan dengan soalan dan bidasan dari pimpinan dan ahli Parlimen pembangkang.
Sesi ini sentiasa mendapat sambutan hangat dengan kehadiran penuh di ruang awam di Houses Of Parliament. Selain itu sesi ini juga di siarkan secara langsung kepada rakyat British untuk mereka menyaksikan kebijaksanaan wakil rakyat yang telah mereka pilih berbalas hujah. Sesi begini menjadi kayu pengukur kepada kemampuan kerajaan mahupun pembangkang untuk pertahan dan mengkritik kebijakan yang telah mereka utarakan.
Malangnya di Malaysia – kita memiliki Perdana Menteri yang bukan hanya takut berdebat dengan Ketua Pembangkang di luar Dewan Rakyat, bahkan untuk berbahas mempertahankan Belanjawan yang beliau bentangkan sendiri pun beliau tidak sanggup. Dimanakah sikap tanggungjawab beliau sebagai Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan? Inikah amalan yang kita laungkan “world’s best democracy”? Bagaimana pula dengan slogan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”? Lebih menghairankan, apakah sebabnya Perdana Menteri begitu takut untuk berdepan dengan Ketua Pembangkang walau di dalam Dewan Rakyat yang majoritinya dikuasai Barisan Nasional?
No comments:
Post a Comment